Saya copy paste artikel tahun baru dari Pejabat Mufti WP..untuk bacaan kita semua..semoga bermanfaat, Insya Allah. Dan ada beberapa kisah saya nak berkongsi, later k.
Mukadimah
Alhamdulillah,
pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah
yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi
SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari
kesudahan.
Tahun
2018 sudah hampir melabuhkan tirainya dan akan terbit fajar 2019. Apa
yang berlaku sepanjang 2018, banyak perkara yang dapat kita muhasabahkan
dan post mortem. Ini bertujuan untuk mengislahkan kehidupan yang mendatang dengan lebih cemerlang dan gemilang.
Warna-warni,
suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang 2018, itulah
putaran hidup yang terpaksa kita lalui. Benarlah firman Allah SWT:
وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ
Maksudnya: Dan
demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa
kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia,
(supaya menjadi pengajaran)
(Surah Ali Imran: 140)
Dalam
menapak ke hadapan pada 2019 ini, sudah semestinya kita mempunyai
hasrat, harapan untuk bertambah baik dalam meniti kehidupan. Justeru,
kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan Membina Cita-Cita Sempena Tahun Baru 2019.
Muhasabah 2018
Banyak
peristiwa yang telah berlaku pada tahun 2018. Kami dapati ada yang
berjaya, gembira dan sukacita. Sebaliknya tidak kurang yang kecewa,
sedih dan berduka nestapa. Begitu juga ada yang dikurniakan dengan
pelbagai anugerah dan nikmat.
Justeru
tatkala kita dikurniakan nikmat, maka wajib kita zahirkan kesyukuran
kepada Tuhan. Sebaliknya jika diuji dengan sedikit musibah, maka
hendaklah dia bersabar. Sudah barang tentu kehidupannya sentiasa
dipahalakan Allah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:
عَجَبًا
لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ
لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ
خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Amat
menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah
baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang
beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur,
maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia
bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
Riwayat Muslim (7692)
Pada
saat yang sama, hendaklah kita bermuhasabah untuk mengislahkan diri ke
arah yang lebih baik pada masa akan datang. Daripada baik kepada lebih
baik dan daripada lebih baik kepada terbaik. Inilah manusia yang
mendapat laba dan keuntungan dalam kehidupan. Semoga sinar 2019, kita
penuhinya dengan cita-cita yang mulia untuk kita capai.
Dengan
menginsafi diri, semua dari kalangan kita mahu menjadi orang yang
cerdik, bijak dan beruntung dalam kehidupannya. Daripada Syaddad bin Aus
R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
الْكَيِّسُ
مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ
أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ
Maksudnya: Orang
yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan
selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa
nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah.
Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)
Syeikh
al-Mubarakfuri dalam menjelaskan hadis di atas berkata: “(Orang yang
cerdik) iaitu orang yang sentiasa memuhasabah dirinya di dunia sebelum
dia dihisab di akhirat. Hal ini berbetulan dengan nasihat Saidina Umar
al-Khattab R.A yang berkata:
حَاسِبُوا
أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ
وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ
نَفْسَهُ في الدّنْيَا
Maksudnya:
Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari
pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari
Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia.”
(Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)
Definisi
Kami mulakan dengan maksud cita-cita. Menurut Kamus Dewan, cita-cita ialah:
- Harapan, hasrat, keinginan (yang kuat).
- Maksud, tujuan yang hendak dilaksanakan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Dalam bahasa Arab, cita-cita disebut sebagai “أمنية” dan juga “أماني”. Ia hampir sama dengan makna dalam Kamus Dewan.
Manusia
dimuliakan berbanding haiwan kerana diberi akal fikiran, ditambah
dengan semangat yang kental untuk membina sebuah cita-cita bagi
menggapainya. Dengan sebab itulah kehidupan manusia mampu membina
tamadun berbanding haiwan yang hanya mengikut fitrah yang Allah
tentukan.
Bagaimana Membina Cita-cita?
Kami kemukakan di sini beberapa cara untuk membina cita-cita:
- Buat Keputusan untuk Tingkatkan Tahap yang Ingin Dicapai
Kehidupan
seseorang boleh berubah sepenuhnya selepas membuat keputusan untuk
menaikkan tahap yang ingin dicapai ke peringkat yang lebih tinggi. Tulis
dengan jelas apa yang diingini, dan beri komitmen sepenuhnya untuk
mencapainya. Masukkan juga, apakah kualiti diri yang sepatutnya dimiliki
untuk mencapai perkara tersebut seperti sikap positif dan tidak
menangguhkan kerja.
- Bersama Tekad, Binakan Keazaman yang Utuh
Seperti
yang dinyatakan di atas, keazaman dalam meraih cita-cita hendaklah
disusun dengan penuh strategi dan pengalaman. Maka insya Allah,
sebaik-baik natijah akan digapai. Pujangga menyatakan:
إذا كُنتَ ذا رأيٍ فَكُنْ ذا عَزيمَةٍ فإنَّ فَسادَ الرأيِ أنْ تَترددا
“Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam
Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian.”
- Tulis Impian dan Cita-Cita yang Ingin Dicapai
Jadikan
setiap apa yang ingin dicapai dalam bentuk bertulis. Begitu juga semua
perkara yang boleh menghalang dan cara mengatasinya. Tulis secara terus
menerus setiap perkara yang dibayangkan. Curahkan semua idea berkaitan
impian dan cita-cita yang ingin dicapai. Susun dalam bentuk garis masa,
mungkin sehingga 5 atau 10 tahun akan datang. Jangan sekali-kali
berfikir bahawa impian kita tersebut tidak realistik. Jangan meletakkan
batas pada diri kita. Yakinlah, jika orang lain boleh mencapainya,
mengapa tidak kita?
Dengan
menulis impian, daripada itu kita dapat mengetahui secara terperinci
berkaitan cita-cita kita serta mendapat gambaran yang jelas. Jadikan
diri kita tidak dapat hidup tanpa impian dan matlamat tersebut.
- Beri Komitmen Sepenuhnya
Menulis
impian sahaja masih belum mencukupi. Bulatkan tekad dan beri komitmen
sepenuhnya untuk mencapai impian tersebut. Beri komitmen sehingga
sanggup melakukan apa sahaja demi untuk merealisasikannya. Bertindak
untuk mengubah strategi jika perlu. Tanamkan pemikiran bahawa sekiranya
kita berhenti dan menyerah bermakna kita telah menjual impian kita.
Yakinlah, sekiranya kita betul-betul memberi komitmen, pasti ada jalan
untuk mencapainya.
Untuk
melakukan perubahan, hakikatnya ia bukanlah soal kemampuan. Sebaliknya
ia adalah berkaitan kemahuan dan motivasi. Cari alasan atau sebab yang
kuat untuk berubah, dan setelah itu beri komitmen sepenuhnya bagi
mencapainya.
- Tempohkan Cita-cita yang Hendak Dicapai
Dengan
hanya bercita-cita sahaja untuk menggapai dan mencapai sesuatu
matlamat, namun tidak diberikan tempoh dan had masa untuk mencapainya,
ia biasanya tidak tercapai. Kalau tercapai sekalipun, ia akan mengambil
sejumlah masa yang besar. Makanya, kejayaan yang sepatutnya diraih hanya
sia-sia dan habis begitu sahaja. Malang sekali jika kejadian seperti
ini sering kali berulang saban tahun dengan cita-cita yang tak pernah
kunjung tiba sekalipun ditekad dan diazamkan pada permulaan tahun.
Jadikanlah cita-cita sebagai tangga yang perlu dinaiki di mana melangkah
semestinya dari satu tahap ke satu tahap yang seterusnya agar kehendak
cita-cita dapat direalisasikan dalam kehidupan kita. Amin.
- Bersahabatlah dengan Orang yang Berjaya Meraih Cita-cita
Ini kerana sahabat menjadi cerminan kejayaan seseorang. Cerdik pandai pernah menyebut: “Beritahu kepadaku siapa sahabatmu, nescaya aku boleh memberitahu siapa diri kamu sebenar.” Hal ini berbetulan dengan hadis Nabi SAW:
الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ
Maksudnya: Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.
Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378)
dan Ahmad (8398)
dan Ahmad (8398)
Sejarah
membuktikan orang yang berjaya biasanya mempunyai rakan-rakan yang
telah berjaya. Dengan sebab itu gandingan antara yang berjaya dengan
yang berjaya menghasilkan kejayaan yang lumayan dan berganda. Justeru,
pilihlah rakan-rakan yang telah berjaya dan bukannya yang kecewa dan
gagal dalam kehidupan.
Cita-cita Saidina Umar al-Khattab R.A
Kami
sengaja menyebut cita-cita Saidina Umar sebagai mengambil semangat dan
inspirasi untuk kita bina cita-cita kita ke arah yang lebih baik dalam
melayari bahtera kehidupan ini.
Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada sahabat-sahabatnya:
تَمَنَّوْا
، فَقَالَ بَعْضُهُمْ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّ هَذِهِ الدَّارَ
مَمْلُوءَةٌ ذَهَبًا أُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ، وَقَالَ
رَجُلُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ زَبَرْجَدًا وَجَوْهَرًا
فَأُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ،
ثُمَّ
قَالَ عُمَرُ : تَمَنَّوْا فَقَالُوا : مَا نَدْرِي يَا أَمِيرَ
الْمُؤْمِنِينَ ، فَقَالَ عُمَرُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ
رِجَالاً مِثْلَ أَبِي عُبَيْدَةَ بْنِ الْجَرَّاحِ ، وَمُعَاذِ بْنِ
جَبَلٍ ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَحُذَيْفَةَ بْنِ
الْيَمَانِ.
Maksudnya: "Tunjukkan cita-cita kamu." Salah seorang menjawab, "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!" Sahabat yang lain pula berkata: "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!"
Kemudian Umar R.A berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.”
Lalu Umar R.A berkata: "Aku
bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah
Ibn al-Jarrah, Mu'adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah
ibn al-Yaman.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005),
dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)
dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)
Mafhum daripada cita-cita sahabat dan Saidina Umar amat banyak. Antaranya:
- Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Ia seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menatijahkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
- Cita-cita Saidina Umar jelas menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih human capital atau modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia dan pemakmurnya mengikut neraca Syari’ah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
- Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu'adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islamiyyah.
Cita-cita Tokoh Besar
Kami
sengaja kemukakan cita-cita tokoh besar untuk sama-sama kita tekuni.
Mudah-mudahan kita juga satu masa nanti akan memperolehi apa yang kita
cita-citakan. Antaranya:
- Barack Obama[1], Mantan Presiden Amerika Syarikat
Beliau
telah mengungkapkan cita-cita menjadi presiden sejak di bangku sekolah
rendah dan sehingga dewasa cita-citanya tidak pernah berubah. Perkara
ini diceritakan oleh Israella Pareira, salah seorang bekas gurunya
semasa di sekolah rendah.
Obama
kemudian merealisasikan cita-cita yang dipasakkannya sejak hampir 40
tahun lalu. Seluruh dunia menyaksikan Barack Obama mewujudkan
cita-citanya menjadi presiden pertama dari bangsa kulit hitam dengan
mengalahkan lawannya, John McCain.
- Bill Gates[2], Pengasas Microsoft
Ayah
beliau, William H. Gates berkata bahawa anaknya ketika di bangku
sekolah rendah pernah diminta untuk menulis tugasan berkenaan cita-cita.
Beliau kemudian menggambarkan sebuah kotak dengan tulisan saintis di
sebelahnya. Beliau sememangnya telah menunjukkan minat dalam bidang
sains sejak kecil lagi. Sebahagian besar masanya dihabiskan dengan
membaca dan bermain dengan programming komputer sejak usia 13 tahun lagi.
Beliau kemudian mengasaskan perniagaan software bersama
rakannya Paul Allen pada 1975. Antara tahun 1978-1981, Microsoft
berkembang dengan pesat. Sehinggalah sekarang banyak komputer di dunia
menggunakan software Microsoft.
- Thomas Alva Edison[3]
Sebelum
beliau berjaya, beliau telah ribuan kali melakukan eksperimen yang
gagal. Ketika rakan-rakannya mengejek kegagalannya, beliau menjawab: “Tidak,
aku sama sekali tidak gagal dalam percubaan ini. Aku hanya menemui satu
cara baharu yang menjadikan mentol ini tidak menyala.”
- Stephen Hawking[4]
Beliau
menonjolkan minat dan bakatnya terhadap matematik dan fizik sejak masa
kecil lagi. Ketika berumur sebelas tahun, Hawking menghadiri Sekolah St
Albans di Hertfordshire yang berhampiran dengan London. Hawking kemudian
menyertai Kolej Universiti, Oxford, dan hendak belajar matematik.
Apabila kursus matematik tidak ada, beliau belajar fizik sebagai ganti.
Pada
1974, Hawking menjadi satu daripada felo termuda badan saintifik
berprestij di Britain, Royal Society pada usia 32 tahun. Seterusnya pada
1979, beliau dilantik sebagai Profesor Lucas Matematik di Universiti
Cambridge yang pernah dipegang oleh Isaac Newton.
- Steve Jobs[5]
Ramai
yang suka bekerja dengan beliau kerana sikap agresif dan gaya fikirnya
untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Dalam masa yang sama,
terdapat segelintir individu yang memandang sikap ini sebagai satu sikap
yang sia-sia. Mereka beranggapan, menghasilkan sesuatu yang belum
pernah dihasilkan orang lain adalah satu tindakan yang membazir masa.
Kita akan menghadapi risiko yang tinggi, sama ada kerugian berbilion
ringgit, atau kerugian masa selama bertahun-tahun akibat mengusahakan
sesuatu yang tidak pasti.
Tetapi
tidak pada diri Steve Jobs. Selagi beliau mahu produk itu disiapkan,
maka ia mesti disiapkan. Walau apa jua cara sekalipun.
Bill
Gates – rakan yang juga pesaingnya – pernah mengungkapkan bahawa tiada
siapa mampu menandingi kemampuan Steve Jobs dalam mencapai sesuatu yang
diinginkan. [6]
Cita-cita Ulama'
Kami lampirkan di sini hasrat dan cita-cita para ulama sedari kecil lagi. Antaranya:
- Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Ketika ditanya semasa di bangku sekolah, “Apa cita-cita kamu?” Beliau menjawab, “Ingin menjadi Syeikh al-Azhar.” Guru yang bertanya terkejut dan menggelengkan kepala.
Walaupun
Syeikh al-Qaradhawi belum ditakdirkan menjadi Syeikh al-Azhar sedangkan
kemampuan dan ilmunya amat luar biasa. Justeru murid-muridnya berkata, “Kamu bukan Syeikh al-Azhar tetapi kamu adalah Syeikh al-Ummah.”
Dalilnya beliau pernah menjawat sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama’
Sedunia dan beliaulah yang mengasaskannya, yang menghimpunkan ulama’
seluruh dunia.
- Ibnu Sina[7]
Beliau
merupakan salah seorang tokoh yang luar biasa dalam ilmu perubatan.
Kemampuannya boleh merawat seorang raja menyebabkan raja tersebut
bertanya kepadanya, “Apakah yang diingini dan dicita-citakan?” Maka jawabnya, “Patik
dengar, tuanku mempunyai perpustakaan yang besar, di mana banyak
kitab-kitab yang nadir terdapat dalam perpustakaan tuanku. Maka izinkan
patik masuk untuk membacanya.”
- Imam Izzuddin Ibn Abdissalam[8]
Imam
Taqiyyuddin al-Subki berkata, “Pada mulanya Syeikh Izzuddin hidup dalam
keadaan sangat miskin. Beliau baru mula belajar ketika sudah berusia
dewasa. Faktor yang membuat beliau tergerak untuk belajar adalah pernah
suatu hari beliau tidur di pintu bahagian utara Masjid Umawi di Damsyiq.
Cuaca malam itu sangat dingin, lantas beliau bermimpi basah (junub).
Dengan segera beliau bangun dan pergi ke perigi untuk mandi. Setelah
mandi, beliau merasa sangat sejuk. Kemudian beliau kembali lagi tidur
dan bermimpi basah lagi. Akhirnya pergi lagi ke perigi untuk mandi.
Kerana pintu masjid ketika itu tertutup dan tidak membolehkannya keluar,
maka beliau memanjat pintu. Namun akhirnya beliau pengsan disebabkan
terlalu sejuk. Perkara itu terjadi kerana beliau tidak mengetahui bahawa
sebenarnya beliau dibolehkan untuk tidak mandi dan menggantinya dengan
tayamum ketika musim dingin dan tidak ada air hangat. Ketika beliau
mengetahui hal itu, beliau bertekad untuk mulai mencari ilmu.
Meskipun
beliau baru mula menuntut ilmu pada usia tua, namun beliau sangat
bersemangat menghafaz kitab dan giat belajar, dan secara berkala belajar
kepada para ulama’ besar pada masa tersebut. Semua itu beliau lakukan
untuk menebus masa kecilnya yang tidak sempat merasai pendidikan
lantaran keadaan keluarga beliau yang miskin.
Ketekunan
beliau ditunjukkan dengan jarangnya tidur pada malam hari. Beliau
pernah berkata bahawa selama 30 tahun beliau tidak tidur sebelum
benar-benar memahami kitab yang sedang beliau pelajari. Selain itu
lingkungan di mana beliau tinggal, iaitu Damsyiq pada masa itu adalah
daerah yang dipenuhi ulama’-ulama’ yang masyhur dalam pelbagai ilmu.
- Umar bin Abdul Aziz
Beliau
dibesarkan di kota Madinah dalam keadaan yang cukup selesa di samping
bergaul dengan pembesar, para ulama dan orang-orang soleh. Hatinya
sangat rindu kepada Masjid Nabi sehinggakan beliau sentiasa berada di
sana. Hatinya begitu terpaut kepada ulama yang terkemuka pada masa itu,
iaitu Abdullah bin Umar, bapa saudara kepada ibunya. Beliau bercita-cita
mengambil hadis daripadanya dan begitu bersemangat untuk mengikuti
sirah Abdullah bin Umar. Pernah pada suatu ketika, beliau berkata kepada
ibunya: “Hai ibu, aku suka untuk menjadi seperti bapa saudaraku (Ibn Umar).” Lantas ibunya menjawab seolah-olah dengan nada kehairanan: “Kamu mahu menjadi seperti bapa saudaramu?” Ibunya mengulangi persoalan tersebut berulang kali.
Hasrat dan Cita-cita Kami
Dengan
datangnya tahun baru, sudah tentu akan terdetik hajat dan cita-cita
untuk digapai. Kami berpendapat adalah amat baik dan perlu untuk membina
hala tuju, dengan keterbatasan masa yang kita miliki bagi mencapai
hasrat tersebut. Antaranya:
- Membentuk peribadi yang soleh dan musleh.
Menzahirkan sifat basyari yang terwujud di dalamnya insaniyyatul insan bahkan sampai kepada tahap ehsan. Ini sudah tentu dapat mentahqiqkan dalam menjadi hamba Allah yang soleh dan musleh. Saat yang sama, menghilangkan dari dalam diri kita sifat-sifat mazmumah seperti qasawatul qulub (kerasnya hati).
- Membina Keluarga Bahagia
Di
saat banyak institusi rumah tangga yang tidak stabil atau goyah dan
kehidupan yang penuh emosi dan tekanan, maka sewajarnya kita bertekad
untuk menjadikan rumah tangga yang kita bina dan kita layarinya meraih
rumah tangga bahagia dan layak dinyatakan sebagai Baiti Jannati.
Rumah tangga seperti ini perlulah ada dua hubungan yang terbaik; hubungan kekeluargaan dan hubungan dengan Allah.
Konsep jama’ah keluarga perlu dihayati dan dilaksanakan seperti solat
berjemaah, lebih-lebih lagi membawa keluarga ke masjid, makan berjemaah,
pergi menghadiri majlis ilmu secara berjemaah dan juga wujudnya
perbincangan yang sihat dan segar dalam membaiki sebuah kefahaman yang
benar dan hala tuju yang jelas. Semoga dengan sentiasa berdoa seperti
yang diajarkan akan menatijahkan Baiti Jannati:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Wahai
Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat
keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan
jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
- Masyarakat yang Makmur
Ini sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya: “Wahai
umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku
puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan
yang lain).”
(Surah al-Hujurat: 13)
Ulama
tafsir terkenal, Imam al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini
menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua
diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud
kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk
berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal
keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)
Di dalam kehidupan, memahami konsep kejiranan dan juga sifat toleransi sesama manusia
lebih-lebih lagi dalam negara yang sama akan menatijahkan keharmonian
dan kasih sayang. Ini akan membawa kebaikan dalam hubungan dan
interaksi, membuang segala sifat curiga-mencurigai dan tohmah serta
hipokrit dengan menjadikan dan menonjolkan sifat-sifat kesamaan dan
kasih sayang akan membawa kepada masyarakat yang harmoni dan cita-cita
negara yang aman dan makmur akan kita perolehi.
Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: “Fiqh yang terbesar ialah bersifat dengan qana’ah dan menahan daripada menyakiti manusia.”
Kenyataan ini berdasarkan kepada buku Sirah Ibn Abdul Aziz, karya Ibn
al-Jauzi. Ia merupakan sebuah nasihat yang disampaikan oleh Umar bin
Abdul Aziz kepada Uthman al-Dujani supaya mengajar anaknya berkenaan
dengan fiqh yang terbesar. Dengan mengamati dua sifat tersebut iaitu
qana’ah dan menahan daripada menyakiti hati manusia, sudah pasti ianya
membawa kelebihan kepada seseorang dalam melayari bahtera kehidupan
kerana kedua-duanya akan terselamat daripada sifat mazmumah dan disakiti
oleh manusia.
- Negara yang Merdeka dan Makmur
Cinta
kepada negara dan diisi negara tersebut dengan segala kebaikan dan
kebajikan menjadi puncak ketenangan masyarakat. Kami nukilkan di sini
pendapat tokoh berkenaan cinta kepada negara dan kaitannya:
- J.B Colbert berkata: “Kebesaran sesuatu negara tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
- Robespierre berkata: “Negara yang merdeka adalah negara yang mana hak-hak manusia dihormati dan semua undang-undang bersifat adil.”
- Plato berkata: “Manusia tidak lahir bagi dirinya sendiri, tetapi bagi negaranya.”
- Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.”
- E.R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.” (Lihat Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 4)
Tiga perkara asas yang perlu dimiliki negara bahagia ialah:
- Politik yang stabil dan kukuh.
- Ekonomi yang baik dan mantap.
- Kesatuan rakyat dan perpaduan yang ampuh.
Dalam konsep kehidupan bernegara dan bermasyarakat, bahkan untuk peribadi dan keluarga sekalipun, meraih keberkatan Tuhan adalah matlamat utama. Hal ini dapat dicapai melalui iman, amal soleh dan taqwa. Benarlah firman Allah SWT:
وَلَوْ
أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم
بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا
فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: Dan
(Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan)
yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka
mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa
disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
(Surah al-A’raf: 96)
Pada
saat yang sama, kami mengharapkan agar negara kita disisihkan dari
sebarang bala dan bencana seperti gempa bumi, bah besar, puting beliung,
tanah runtuh dan gegaran yang dahsyat. Begitu juga memohon agar selamat
daripada rusuhan kaum, huru-hara, pembunuhan, rasuah serta perlakuan
yang tidak bermoral.
Sekali
lagi kami tegaskan bahawa negara maju seperti mana yang ada di depan
mata kita sekarang yang diwakili oleh sejumlah negara Eropah di Barat
serta Jepun dan Korea di Timur adalah negara yang berusaha mencapai
elemen good governance ini. Nilai-nilai kebebasan melalui
demokrasi disuburkan, hak asasi manusia ditegakkan, gejala rasuah
disifarkan, keadilan dan kedaulatan undang-undang dipupus, nilai-nilai
keperibadian yang baik cuba dibentuk dan sebagainya. Hasilnya, negara di
Barat aman dan makmur selama lebih satu abad.
Kesalahan
mereka hanyalah kerana semua nilai itu dibina berdasarkan penularan
akal semata-mata tanpa bimbingan wahyu. Di situlah titik perbezaan
antara kita (Islam) dengan mereka. Jika elemen ini disatukan dengan
pancaran wahyu Ilahi dan Sunnah Nabawi, sudah tentu negara maju yang
berpijak pada baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur akan menjelma dan kemakmurannya akan lebih terasa. Barat hanya ada baldatun toyyibah tanpa rabbun ghafur, malangnya kita langsung tidak punyai apa-apa. Baldatun Toyyibah tiada, malah rabbun ghafur amat jauh sekali. (Lihat Mukadimah Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua)
Akhir
kalam, kami mengharapkan sebuah kebaikan dan keberkatan hidup sentiasa
menaungi kami dan singgah dalam kehidupan kita semua yang akhirnya
membawa kebahagiaan dan ketenangan. Ingatlah, api kemarahan dan dendam
kesumat tiada yang bermanfaat kecuali kebinasaan dan kerugian yang akan
mengundang ke dalam kehidupan kita. Justeru, tepuk dada tanyalah iman.
Kami menadah tangan dan bermunajat kepada Yang Maha Esa:
اللَّهُمَّ
اجْعَلْ مَاليزِيَا وَسَائِرَ بِلَادِ الْمُسْلِمِينَ طَيِّبَةً آمِنَةً
مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً، يَا رَؤُوفًا بِالْعِبَادِ
اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ وَالْمُسْلِمِينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَحِيْنٍ، وانْصُرْ مَن نَصَرَ الدِّينَ، وَاخْذُلْ
مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِينَ، وَأَعْلِ كَلِمَتَكَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَدَمِّرْ أعْدَاءَكَ أعْدَاءَ الدِّينِ
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Semoga
negara kita Malaysia yang kita pijak ini, menjadi negara yang aman
sentosa serta diberkati Allah dan seperti yang disifatkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
31 Disember 2018 bersamaan 22 Rabi’ al-Akhir 1440 Hijrah.
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
31 Disember 2018 bersamaan 22 Rabi’ al-Akhir 1440 Hijrah.
salam tahun baru 2019. semoga dimurahkan rezeki sihat sentiasa dan happy2 selalu =)
ReplyDelete