Mesti pernah dengar legenda Puteri Santubong kan?Dan Puteri Sejinjang... kalau dah puteri mesti lah dibayangkan cantik dan jelita... mcm imej di bawah..
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang
asalnya dari kayangan merupakan dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka
Dewata Mulia Raja Kayangan telah menitahkan agar mereka turun ke bumi
untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi,
kedua-dua puteri telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara
mereka yang mana kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah
mereka di bumi.
Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi,
penduduk kedua-dua Kampung Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan
melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri kampung mereka.
Kejelitaan dan sifat kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri
ini.
Puteri Santubong telah menetap di
kampung Pantai Biru dan menurunkan kemahiran menenun kain kepada
orang-orang kampung di situ manakala Puteri Sejinjang pula mengajar
mengasingkan sekam padi dengan aluk kepada orang-orang kampung Pasir
Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua puteri ini, pertelingkahan
pertukaran barang-barang yang berlaku selama ini telah terhapus dan
orang-orang kampung hidup aman dan damai. Kain tenunan Puteri Santubong
begitu unik dan dijual dengan harga tinggi manakala tanaman padi Puteri
Sejinjang begitu subur dan menjadi. Malangnya, kemakmuran yang dikecapi
ini tidak berkekalan.
Kehadiran Putera Serapi dari Matang
untuk melihat kehebatan kedua-dua kampung serta kecantikan dan
kejelitaan kedua-dua puteri telah menimbulkan perasaan iri hati dan
cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini adalah kerana kedua-dua mereka
telah jatuh hati dengan ketampanan, kewibawaan dan keperkasaan Putera
Serapi yang mana telah jatuh hati kepada kejelitaan dan keayuan
kedua-dua puteri juga.
Sementara itu, Panglima Putih berasa
amat kecewa kerana pinangannya ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir
Putih dibakar oleh Sang Bualang menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan
diri ke istana Puteri Santubong.
Mereka sering berjumpa dan memadu kasih.
Putera Serapi telah menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua
puteri tetapi kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan
masing-masing lebih jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri
hati makin menebal di dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan
hati Putera Serapi.
Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang
ada dan telah bergaduh berhari-hari lamanya untuk mempertahankan
kejelitaan dan kemahiran masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri
Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri
Santubong. Jika diteliti lekukan ini dapat dilihat di Gunung Santubong
sehingga kini. Melalui kudrat dan kekuatan yang terakhir, Puteri
Santubong telah menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan
otaknya bersepai lalu tersungkur kerana kesakitan. Secara tiba-tiba
kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari
langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan.
Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan
Puteri Santubong sebagai gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera .
Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.
Jika diteliti dan diamati, gunung
santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan
rambut panjangnya yang terurai.Akibat pukulan belida yang amat kuat otak
Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan menjadi Pulau
Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau Lakir dan beberapa pulau
kecil yang berhampiran.
Versi legenda ini lebih diterima
sehingga memberikan ilham kepada Tuan Haji Madeli Johari, bekas pengarah
RTM Sarawak untuk mencipta lagu Puteri Santubong seperti di bawah. Buat
mereka yang rajin menghayatinya, dilampirkan juga versi Bahasa Melayu
Baku.
Jom kita baca kisah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dalam lirik lagu
pula...
VERSI ASAL Puteri Santubong
Oh……
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.
VERSI TERJEMAHANPuteri Santubong
Oh…
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, zaman dulu kala.Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Cantik, tak ada yang dapat lawan,
Anak Dewa-dewa turun kayangan.Oh…
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh…
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.Satu hari mereka dua bergaduh,
Mengata-ngata tak henti-henti,
Seorang cakap dirinya bagus lagi,
Seorang tak kalah walau sampai ke mati.Sudah jemu mereka dua bergaduh,
Lalu saling memukul mereka dua puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Mencalarkan Santubong sampai hari ini.Tapi Santubong membalas juga,
Lalu dibaling batang belidak,
Sampai terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabur jadi Pulau Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Sekarang mereka jadi kenangan,
Untuk diingati sepanjang zaman.
Sumber:
Legenda Puteri Santubong